BESUT: Dua pengasuh direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung penularan video kes dera kanak-kanak di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di daerah ini.
Kedua-dua suspek tiba di Mahkamah Besut diiringi pegawai polis, kira-kira jam 9.05 pagi tadi.
Perintah reman terhadap dua wanita berusia 26 dan 50 tahun itu dikeluarkan Hakim Tuan Ahmad Fadhli Mahmud.
Reman yang bermula hari ini sehingga 12 September bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 yang mana memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
Wanita berkenaan ditahan sepasukan anggota polis semalam selepas ibu kanak-kanak itu membuat laporan pada Khamis.
Semalam, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, dilaporkan berkata sebelum ini tular satu video berdurasi 0.25 saat dimuat naik di media sosial memaparkan insiden kanak-kanak didera di sebuah TASKA dalam daerah Besut.
Katanya, susulan penularan video itu, satu laporan polis diterima daripada seorang pengadu yang juga ibu mangsa di dalam video terbabit, kira-kira jam 7 malam tadi.
“Mangsa seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun serta seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun.
“Siasatan awal mendapati, TASKA itu berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.