comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Didakwa merogol akauntan, penjaga tokong mengaku tidak bersalah 

KANGAR: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas kesalahan merogol seorang akauntan di sebuah tokong di Arau pada 29 Mac lalu.

Ong Poh Sun, 58 yang juga penjaga tokong mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Tertuduh didakwa merogol seorang wanita berusia 27 tahun di dalam Tokong Seng Ong, Kampung Guar Paya, Arau pada 29 Mac lalu sekitar jam 3 petang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan di mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Suzila Chek Pi manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Hanani Che Nor dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Alia dalam hujahannya meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap tertuduh memandangkan kesalahan yang serius dilakukan.

Manakala, Nurul Hanani dalam mitigasi balasnya memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan setimpal kerana tertuduh mempunyai penyakit kencing manis dan kolestrol selain menjaga isterinya yang turut mempunyai masalah kesihatan sama.

“Tertuduh bekerja dan hanya tinggal bersama isterinya di tokong berkenaan dan tidak ada risiko untuk melarikan diri sebelum tarikh sebutan semula kes,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin selain dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran sehingga tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh juga tidak dibenarkan mengganggu atau mendekati mangsa dalam tempoh kes berlangsung.

Mahkamah menetapkan 6 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini