comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Dua beradik dituduh curi ekzos kereta

Foto hiasan.

MELAKA: Dua beradik lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini, atas empat pertuduhan termasuk mencuri komponen kereta dan mengambil dadah.

Tertuduh, K Rasvindren, 27, dan adiknya, Aruvendran,24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan minta dibicarakan dalam prosiding didengar Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki rumah di No 680L Jalan Delima 25, Taman Bukit Melaka pada 6 Mac lalu, kira-kira jam 1 tengah hari.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda boleh sampai RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mencuri komponen kenderaan iaitu ekzos Honda Accord dan Hyundai Sonata bernilai kira-kira RM3,000 milik pelanggan kepada pemilik kedai kereta, Tong Son Cheng, 48, di SK Tong Auto Parts Sdn Bhd, No 14 Jalan TTC 35, Taman Teknologi Cheng, pada 20 Oktober lalu, kira-kira jam 3.35 pagi.

Mereka seterusnya didakwa mencuri ekzos Honda Accord milik pelanggan kepada pemilik bengkel Branded Jaya Tyres, Wan Wai Meng, 41, pada 18 Oktober lalu kira-kira jam 4.55 pagi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, sabit kesalahan membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum tujuh tahun dan denda.

Bagi pertuduhan terakhir mereka tidak mengaku bersalah memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam diri sendiri pada 24 Oktober lalu antara jam antara jam 3.45 hingga 3.55 petang, di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.

Kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan perintah pengawasan selama dua hingga tiga tahun.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya J Banusha mencadangkan jaminan RM22,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin masing-masing untuk semua pertuduhan.

Mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM5,500 selepas menimbangkan rayuan tertuduh dan menetapkan kes disebut semula pada 14 Disember depan untuk serahan dokumen.

Loading...
Terkini