comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Dua beranak didakwa menipu dokumen sewa tapak RM13 juta

FUI Ming (duduk tengah) bersama Choon Fung (duduk kiri) didakwa dengan empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini. – FOTO: NSTP

TAWAU: Dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, tadi, atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu sebagai tulen antara Mac 2020 hingga Januari 2022.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh, Datuk Lo Fui Ming, 68, iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Wullersdorf Resources Sdn Bhd (WRSB) dan anak perempuannya, Lo Choon Fung, 44, yang juga pengarah syarikat Southsea Gold Sdn Bhd (SSB) mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Jason Juga.

Mengikut empat pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen bertarikh 3 Mac 2020, 10 Disember 2020, 13 Oktober 2021 dan 3 Januari 2022.

Dokumen itu digunakan sebagai dokumen keterangan bagi tuntutan sivil berhubung tuntutan sewa tapak berjumlah RM13 juta antara WRSB dan SGSB.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zander Lim Wai Keong, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Zahir Shah.

Pada 24 Oktober lalu, Fui Ming bersama anak lelakinya Lo Teck Yong, 42, berdepan 24 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berkaitan penjualan jongkong emas hasil perlombongan galian berharga itu di Bukit Mantri, Tawau antara 2019 hingga Mac 2023.

Kedua-dua mereka masing-masing didakwa mengikut Seksyen 109 yang dibaca bersama Seksyen 418 Kanun Keseksaan.

Semua pertuduhan itu berkaitan kesalahan menipu Kerajaan Sabah melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) negeri dengan tidak mengisytiharkan hasil penjualan kuantiti jongkong emas yang sebenar dalam dokumen invois dikemukakan kepada jabatan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini