comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Dua bersaudara dituduh bunuh kakitangan Majlis Perbandaran Manjung

Saravanan (baju jingga) dan Thamilselvan (baju ungu) dituduh membunuh kakitangan Majlis Perbandaran Manjung, M Segar di Mahkamah Majistret Seri Manjung, hari ini. -FOTO: NSTP

MANJUNG: Dua bersaudara dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh kakitangan Majlis Perbandaran Manjung (MPM), bulan lalu.

Tertuduh, M Saravanan, 43, dan M Thamilselvan, 48, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret T Kavita.

Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Saravanan yang bekerja sebagai pencuci kereta dan Thamilselvan yang menganggur dituduh secara bersama dengan sengaja telah menyebabkan kematian ke atas M Segar, 45, di sebuah rumah di Taman Biru, dekat Ayer Tawar antara 5 pagi hingga 9 malam, 10 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hairol Jemain manakala semua tertuduh diwakili peguam, R R Segaran.

Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 18 April depan untuk serahan laporan kimia dan bedah siasat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini