comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Dua Individu Direman Bantu Siasatan Kes Terima Suapan Syarikat Bekal Baja

GAMBAR HIASAN

Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini mengeluarkan perintah reman empat hari terhadap dua individu termasuk seorang penjawat awam bagi membantu siasatan berhubung kes menerima wang suapan kira-kira RM18,000 daripada sebuah syarikat pembekal baja.  

Perintah reman kedua-dua lelaki itu yang bermula hari ini sehingga 13 Sept depan itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki, selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu kedua-dua suspek yang berusia 54 dan 51 tahun itu tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz sekitar 10 pagi tadi diiringi pegawai SPRM.

Semalam media melaporkan SPRM menahan dua individu termasuk seorang penjawat awam kerana dipercayai menerima wang suapan kira-kira RM18,000 daripada sebuah syarikat pembekal baja.  

Kedua-dua suspek tersebut ditahan sekitar 3 petang di pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

Sumber SPRM memaklumkan, perbuatan itu dipercayai dilakukan seorang penjawat awam bersama seorang lagi suspek sebagai balasan membantu syarikat pembekal baja tersebut mendapatkan kerja-kerja membekalkan baja cecair organik bernilai lebih RM140,000 kepada sebuah pertubuhan peladang di Selangor. – BERNAMA

Loading...
Terkini