comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Dua Lagi Didakwa Culik Warga Palestin

Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Dua lagi individu dihadapkan di Mahkamah Majistret hari ini atas dakwaan menculik seorang warga Palestin, Omar Z M Albelbaisy Reeda bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit, bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh, Mohd Zaidi Mohd Zain, 54, dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 49, mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana pertuduhan dikenakan ke atas mereka mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Akta 365), adalah di bawah kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa dengan niat bersama menahan Omar dengan cara tidak berpatutan untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat untuk membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Mayang, di sini pada jam 10.40 malam, 28 September lalu dan pertuduhan ke atas mereka dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Majistret Wong Chai Sia tidak membenarkan semua tertuduh dijamin selepas Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamaluddin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin.

Pada 14 Oktober lalu, 11 individu termasuk seorang wanita dihadapkan di mahkamah sama atas dakwaan sama.

Pada 5 Oktober lalu, akhbar melaporkan seorang lelaki warga Palestin yang diculik menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berjaya diselamatkan dalam kejadian di Jalan Yap Kwan Seng, di sini pada 28 September lalu.

Mangsa yang dipercayai ahli perniagaan berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 29 September.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Disember ini bagi sebutan semula kes. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini