comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Dua pembantu penguasa kastam didakwa terima rasuah RM12,500

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KUALA TERENGGANU: Dua pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 14 tuduhan menerima rasuah RM12,500 sejak 2017 sehingga 2023.

Tertuduh, Che Mohd Taufik Che Arif, 33 tahun, berdepan 13 pertuduhan.

Manakala Mohd Afiq Ikhwan Ramli, 30 tahun, berdepan satu tuduhan.

Kedua-dua tertuduh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan, Che Mohd Taufik sebagai pembantu penguasa JKDM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didakwa secara rasuah memperoleh suapan keseluruhan RM9,000.

Manakala Mohd. Afiq Ikhwan pula didakwa menerima suapan berjumlah RM3,500.

Bayaran itu diterima melalui atas talian dari seorang lelaki yang juga pemilik sebuah syarikat sebagai dorongan tidak memeriksa lori-lori milik syarikat terbabit membawa keluar barang dari kargo KLIA.

Masing-masing didakwa melakukan perbuatan itu sebuah bank di Jertih dalam daerah Besut antara 17 Disember 2017 sehingga 12 April 2023.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan 18 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula dan pengurusan kes.

Mahkamah kemudian turut membenarkan Che Mohd. Taufik diikat jamin RM16,000 dan Mohd. Afiq Ikhwan, RM5,000 dengan seorang penjamin.

Selain dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di Pejabat SPRM terdekat serta tidak dibenarkan menganggu saksi pendakwaan sepanjang prosiding.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Maziah Mohaide manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Ridha Abdah Subri.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan seramai 23 pegawai dan anggota kastam akan didakwa di enam mahkamah sesyen seluruh negara sehingga Khamis ini selepas ditahan menerusi Ops Samba 2.0.

Operasi yang bermula pada 11 hingga 25 Mac itu, menumpukan siasatan ke atas mereka yang bertugas di kargo KLIA dan berjaya mengesan ketirisan hasil cukai berjumlah RM2 bilion.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini