comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Dua pembantu penguasa kastam dituduh terima rasuah

Dua pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah. – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Dua pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4,300 pada 2020.

Kedua-dua tertuduh, Mohd Faizul Mat Nasir dan Mohamad Rasul Mohd Zukri masing-masing berusia 34 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mohd Faizul didakwa dengan satu pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1,750 pada 16 Julai 2020, manakala Mohamad Rasul didakwa dengan dua pertuduhan menerima suapan keseluruhan berjumlah RM2,550 pada 8 dan 13 September 2020.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Maybank Berhad di Jalan Mahmood, di sini.

Kedua-dua tertuduh didakwa menerima rasuah daripada seorang pemilik syarikat berusia 38 tahun, melalui pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank masing-masing sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori-lori kargo milik syarikat itu, yang membawa keluar barangan dari Kargo KLIA.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Afif Ali dan Nurul Atiqah Mohamad Alias, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Adhwa Afiqah Mohd Azmi.

Terdahulu, Mohd Afif Ali dan Nurul Atiqah memohon jaminan setimpal dikenakan selain mengenakan syarat tambahan terhadap kedua-dua tertuduh.

Adhwa Afiqah bagaimanapun memohon jaminan minimum dikenakan memandangkan tertuduh memberi kerjasama yang baik terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim kemudian memutuskan jaminan RM7,000 untuk Mohd Faizul dan RM8,000 untuk Mohd Rasul dengan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di pejabat SPRM di Putrajaya setiap bulan selain tidak boleh menganggu saksi.

Mahkamah turut menetapkan 21 Julai untuk sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini