comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Dua rakan edar dadah, dihukum penjara seumur hidup

KUALA LUMPUR: Dua rakan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi, hari ini, selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 300 gram tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, mengarahkan kedua-dua tertuduh, Lee Chuen Hoe, 44, dan Chen Kok Kwong, 59, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap iaitu 21 Jun 2021.

Hukuman itu dibuat selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap dua lelaki terbabit di akhir kes mereka.

Pada masa sama, mahkamah melepas dan membebaskan seorang lagi rakan tertuduh iaitu So Hoong Piau, 29, daripada pertuduhan sama selepas pihak pembelaan berjaya membuktikan keraguan munasabah terhadap tertuduh ketiga berkenaan.

“Dadah itu di bawah jagaan dan kawalan tertuduh pertama (Chuen Hoe) serta tertuduh kedua (Kok Kwong). Mereka mengetahui tujuan dadah itu (untuk diedar).

“Oleh itu, kedua-dua tertuduh didapati bersalah atas pertuduhan berkenaan. Tertuduh pertama dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan, manakala tertuduh kedua dikenakan hukuman penjara seumur hidup,” katanya.

Sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, peguam bela Chuen Hoe, Syaheera Rosli, memohon hukuman penjara susulan hukuman gantung sampai mati dimansuhkan, selain menegaskan anak guam memberi kerjasama baik sepanjang prosiding.

Sementara itu, peguam Manveer Singh yang mewakili Kok Kwong memohon anak guam dikenakan hukuman penjara minimum atas faktor umur serta perlu menanggung ibunya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamed, pula memohon kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman mati dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh serta keseriusan kesalahan.

Pada 2022, ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengedar dadah di hadapan Pusat Rawatan Kiropraktik Ling Chiropractic Care, Jalan Perkasa, Aked Esplanad di Bukit Jalil, pada jam 6.20 petang, 21 Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Pada tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan tiga rakan itu membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.

Perbicaraan kes pada peringkat pendakwaan bermula 13 Mac 2023 dengan enam saksi memberi keterangan, manakala tujuh saksi termasuk tiga tertuduh itu memberi keterangan ketika perbicaraan peringkat pembelaan pada 5 Disember lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini