comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Dua remaja bawah umur antara empat lelaki dituduh rogol kanak-kanak

Tertuduh, Neo Jing Cong, 23, dan Wong Chee Keong, 19, dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan merogol kanak-kanak Januari lalu.

SEREMBAN: Empat lelaki termasuk dua remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan secara berkumpulan, Januari lalu.

Tertuduh, Neo Jing Cong, 23, Wong Chee Keong, 19, serta dua remaja masing-masing berusia 17 dan 14 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Jin Cong, Chee Keong dan tertuduh berusia 17 tahun bersama-sama secara berkumpulan merogol seorang kanak-kanak umur 12 tahun 10 bulan.

Kesalahan dilakukan di sebuah bilik di Riverview Hotel, Bahau, dekat Jempol, kira-kira 1.30 pagi 24 Januari lalu.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Chee Keong dan dua tertuduh juvana dituduh melakukan kesalahan sama terhadap mangsa sama di sebuah bilik di TH Hotel, Bahau, jam 2 petang 24 Januari lalu.

Semua tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan.

Hukuman memperuntukkan penjara selama tempoh tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Dpp Goh Hsiao Tung tidak menawarkan jaminan terhadap semua tertuduh dengan mengambil kira jenis kesalahan dilakukan dan umur mangsa.

Peguam Datuk PM Nagarajan yang mewakili Jin Chong dan Chee Keong meminta mahkamah mengenakan jaminan paling minimum memandangkan ahli keluarga yang menjamin tertuduh hanya berpendapatan rendah.

Tertuduh juvana berusia 17 tahun diwakili Datuk Abu Bakar Isa Ramat manakala juvana berusia 14 tahun tidak diwakili peguam.

Surita kemudiannya menetapkan wang jaminan RM7,000 bagi semua tertuduh dengan syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis terdekat dan tidak mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan sebutan semula untuk serahan dokumen pada 30 Mac depan.

Jing Cong bekerja sebagai pembantu kedai pakaian terpakai, manakala Chee Keong sebagai penyelia tapak.

Loading...
Terkini