comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Dua sepupu tak mengaku bersalah edar pil kuda

KUALA TERENGGANU: Dua lelaki yang juga sepupu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine.

Tertuduh, Muhammad Iman Muhaimin Zamri dan Afif Naqiuddin Mat Zuni, masing-masing berusia 23 dan 22 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 116.47 gram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di dalam parkir sebelah bangunan di Pengadang Baru, jam 1 pagi pada 6 November 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh berdepan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Muhammad Iman Muhaimin turut berdepan satu lagi pertuduhan mengedar dadah methamphetamine seberat  464.1 gram.

Muhammad Iman Muhaimin didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi dan masa yang sama.

Mahkamah menetapkan 12 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khairuddin Idris manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini