comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Dua warga Amerika Latin didakwa pecah rumah, curi barang bernilai RM7 juta

Dua warga Amerika Latin, didakwa di Mahkamah Sesyen kerana menyamun kediaman seorang ahli perniagaan di Bukit Damansara dengan nilai kerugian RM7 juta, pada 31 Mei lalu.-Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga Amerika Latin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memecah masuk rumah milik ahli perniagaan dan mencuri pelbagai barangan bernilai RM7 juta di Bukit Damansara, Mei lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua penganggur itu, Yeyson Andres Rocha Garzon, 39, dan Julian David Serna Pena, 22, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Azrol Abdullah.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama individu yang bebas didakwa melakukan pecah rumah milik seorang lelaki berusia 45 tahun dan mencuri barang bernilai RM7 juta di rumah ahli perniagaan itu di Jalan Setia Murni, Bukit Damansara di sini pada jam 10 malam, 31 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibacakan bawah Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara selama lima tahun dan boleh dikenakan denda.

Jika kesalahan yang dimaksudkan ialah untuk mencuri, maka tempoh penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun manakala kesalahan kali kedua atau seterusnya, bolehlah juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd Rauf tidak menawarkan ikat jamin kepada kedua-dua lelaki berasal dari Colombia itu kerana mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Sementara itu, peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid yang mewakili kedua-dua lelaki terbabit berkata, pembelaan akan menghantar representasi berhubung kes terbabit.

“Kami mohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes serentak dengan permohonan representasi ini,” katanya yang turut diwakili peguam Yasmin Khalid.

Mahkamah tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 5 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan sekumpulan penjenayah didalangi warga Amerika Latin memecah masuk rumah milik ahli perniagaan dan melarikan pelbagai barangan bernilai RM7 juta di Bukit Damansara, di sini pada 31 Mei lalu.

Kumpulan penjenayah yang dilengkapi alat ‘jammer’ kamera litar tertutup (CCTV) itu dikesan menyewa kenderaan untuk ke kediaman yang dikenal pasti, sebelum mengumpil pintu masuk rumah berkenaan.

Kegiatan mereka tumpas selepas polis menahan tujuh individu pada 6,9 dan 14 Jun lalu di sekitar ibu negara dan Bangkok, Thailand.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini