comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Dua warga Indonesia terlepas hukuman mati, dipenjara seumur hidup dan sebat

Warga Indonesia, Watie Endeng, 44dan Tahir Najamuddin, 32, dipenjara seumur hidup selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 359.5 gram, Julai tahun lalu.-Foto: NSTP

TAWAU: Dua warga Indonesia terlepas hukuman mati dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 359.5 gram Julai tahun lalu.

Hakim Datuk Duncan Sikodol, membuat keputusan itu selepas kedua-dua tertuduh Watie Endeng, 44, dan Tahir Najamuddin, 32, didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Hukuman itu diputuskan Duncan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara selama tempoh 30 tahun bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 6 Julai 2023 manakala Tahir turut dihukum dengan 12 kali sebatan.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-kedua tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 359.5 gram di kawasan Lorong Seraya, dekat sini, jam 3.30 petang 6 Julai tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan minimum 12 kali sekiranya tidak dikenakan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain manakala tertuduh masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini