SHAH ALAM: Seorang bekas mahasiswa sarjana warga Nigeria di sebuah universiti teknikal di Melaka dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengedar dadah jenis kokain, lima tahun lalu.
Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Ngoforo Ebube Gospel, 45, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Dalam penghakimannya, Latifah berkata hujah tertuduh yang mengatakan dia tidak mengetahui isi kandungan beg yang mengandungi dadah jenis kokain, yang diserahkan oleh seorang individu lain, tidak boleh diterima berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan wujudnya persefahaman antara mereka.
“Mahkamah berpuas hati dengan hujah pihak pendakwaan bahawa tertuduh mempunyai kawalan dan penjagaan terhadap dadah tersebut yang berada dalam beg yang ditemukan dalam kereta tertuduh semasa tangkapan dibuat,” katanya.
Susulan itu, mahkamah mendapati alasan tertuduh bahawa beg mengandungi dadah tersebut berada di bawah jagaan sementara adalah tidak munasabah melainkan dengan tujuan untuk pengedaran.
Mengikut pertuduhan, Ngoforo didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kokain seberat 149.4 gram di hadapan sebuah premis berhampiran Zenith Corporate Park, Kelana Jaya, pada pukul 1.50 petang, 25 Okt 2019.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama iaitu penjara seumur hidup atau hukuman mati.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 25 Okt 2019.
Perbicaraan melibatkan lima saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan yang tampil memberi keterangan dengan seorang individu yang turut dituduh bersama Ngoforo telah dilepas dan dibebaskan pada akhir kes pendakwaan..
Terdahulu, peguam yang mewakili tertuduh, Afifudin Ahmad Hafifi dalam mitigasinya memohon agar hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya dengan mengambil kira kerjasama yang diberikan semasa siasatan serta faktor kesihatannya yang menghidap ulser perut.
“Ini adalah kesalahan pertamanya, dan dia seorang pelajar sarjana yang bakal berkahwin sebelum ditangkap. Di kampungnya, dia telah berkahwin dan mempunyai anak lelaki berusia lima tahun di samping menjaga ibu bapa yang uzur serta tiga adik lelaki,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail mencadangkan supaya mahkamah mempertimbangkan hukuman mati dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh serta keseriusan kesalahan tersebut.
— BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.