comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Emilia, SM Faisal runding luar mahkamah

Bekas isteri kepada Datuk SM Faisal SM Nasimudin Kamal, Emilia Hanafi hadir untuk perbicaraan kes mencederakannya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. – Foto : NSTP

KUALA LUMPUR: Emilia Hanafi dan bekas suami, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin, akan berunding untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah, berhubung dakwaan wanita itu dicederakan oleh ahli perniagaan terbabit.

Peguam pemerhati mewakili Emilia, Nazri Yahya, berkata atas sebab itu, pihaknya memohon perbicaraan kes yang sepatutnya dijalankan hari ini dilapangkan ke Khamis depan untuk mengetahui status rundingan berkenaan.

“Untuk makluman mahkamah, ditetapkan untuk Emilia memberi keterangan hari ini. Namun, saya ingin maklumkan pihak-pihak (Emilia dan SM Faisal) berhasrat untuk berunding secara serius bagi menyelesaikan kes.

“Perkara itu sudah dimaklumkan kepada peguam SM Faisal, oleh demikian kami mohon supaya dapat diizinkan bahawa mahkamah boleh melapangkan kes hari ini.

“Kami ada tarikh untuk memberi makluman mengenai status rundingan iaitu sebelum atau pada 30 Mac. Saya mohon perintah mahkamah,” katanya pada prosiding di hadapan Majistret, Nadia Othman, hari ini.

SM Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas di Brickfields, di sini, antara jam 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang pada 22 November 2015.

Pendakwaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, peguam bela SM Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader, mengesahkan ada inisiatif untuk menyelesaikan kes berkenaan.

“Saya dihubungi oleh peguam syarie mewakili Emilia ketika waktu berbuka puasa semalam, yang memaklumkan perkara sama.

“Pagi ini Nazri memberitahu perkara sama. Saya sudah beritahu peguam itu kita akan lakukan yang terbaik untuk selesaikan (kes) mengikut cadangan tertakluk terma anak guam.

“Saya mohon mahkamah rekodkan jika tiada penyelesaian dan tidak mahu membuang masa kita teruskan bicara pada 30 Mac. Saya tiada bantahan terhadap permohonan untuk melapangkan kes hari ini,” katanya.

Majistret kemudian bersetuju supaya ditetapkan tarikh itu bagi mengetahui keputusan rundingan berkenaan.

Akberdin ketika ditemui media pula mengesahkan rundingan itu termasuk tuntutan harta sepencarian dan mutaah di Mahkamah Syariah.

“Kita menuju ke arah itu (kes pukul ditarik balik). Kalau ada penyelesaian, kita selesaikan semua kes termasuk di Mahkamah Syariah.

“Ia bergantung kepada terma dan persetujuan kedua-dua pihak. Kita sentiasa terbuka untuk berbincang.

“Kes ini sudah berjalan terlalu lama, kita mahu tamatkannya. Kalau ada macam ini (rundingan penyelesaian), kita akan pertimbangkan,” katanya.

Mutaah ialah sagu hati yang wajib diberikan suami kepada bekas isteri sebagai tanda penghargaan kepada wanita itu untuk memulakan hidup baharu dan perceraian bukan berpunca daripada isteri.

Pasangan itu berkahwin pada 2004 sebelum bercerai 12 tahun kemudian, manakala hak penjagaan tiga anak mereka diberikan sepenuhnya kepada Emilia.

Loading...
Terkini