comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Empat lelaki warga Myanmar lepas, bebas tuduhan bunuh rakan senegara

Foto hiasan

 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan empat lelaki warganegara Myanmar daripada pertuduhan membunuh rakan senegara mereka, empat tahun lepas.

Hakim K.Muniandy membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Pau Deih Lian, Kai Lian Mong, Kai Za Muang dan Tuang Siang Muang di akhir kes pendakwaan, tanpa perlu memanggil mereka membela diri atas pertuduhan itu.

Dalam penghakimannya, Muniandy berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan seorang anggota keselamatan yang dikenali sebagai Rajan adalah individu yang menghayun cota ke arah sekumpulan warga Myanmar ketika pergelutan semasa kejadiaan.

“Persoalannya adakah Rajan merupakan individu yang memukul mangsa hingga mati? Persoalan itu tidak terjawab sehingga akhir kes pendakwaan memandangkan Rajan tidak dipanggil sebagai saksi pendakwaan.

“Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan lain, individu yang boleh memberikan penjelasan mengenai kejadian ini adalah Rajan kerana dia adalah individu terakhir berbual dengan mangsa, dan satu-satunya inidvidu yang mempunyai senjata yang boleh menyebabkan kecederaan senjata tumpul kepada si mati adalah Rajan, dan orang bukan lain.

“Malah keterangan pakar patologi di mahkamah turut mengesahkan kematian mangsa adalah disebabkan objek tumpul yang dialami, namun tiada bukti daripada pihak pendakwaan menunjukkan bahawa kesemua tertuduh bersenjata. Oleh itu, keempat-empat tertuduh dibebaskan dan dilepaskan tanpa perintah membela diri terhadap pertuduhan membunuh yang dihadapi mereka,” kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan, mereka berumur antara 30 tahun hingga 40 tahun itu didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kematian seorang lelaki pekerja kedai kopi yang dikenali dengan nama panggilan ‘kawan’ di Jalan Pudu Lama, Dang Wangi di sini pada 10 pagi, 18 November 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zaileen Nadia Zubir manakala keempat-empat tertuduh masing-masing diwakili peguam Datuk C. Vignesh Kumar, P.G. Cyril, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu dan M. Visvanathan.

Sebelas saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 28 Feb lepas. – BERNAMA

Loading...
Terkini