comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Empat penghuni pondok pemulihan dituduh cederakan rakan

KOTA BHARU: Empat penghuni pondok pemulihan dadah persendirian yang berdepan tuduhan memukul rakan pondok mereka hingga parah, 1 Mac lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Ahmad Afzam Ibrahim, 31; Muhammad Firdaus Muhammad Zulkifli, 21; Mohamad Aniq Zamri, 33; dan Muhammad Irfan Hisam, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan sebatang rotan terhadap Wan Aminullah Wan Ibrahim, 51.

Perbuatan itu dilakukan di dalam bilik asrama pondok pemulihan dadah persendirian di Kampung Kandis dekat Bachok, pada 9.30 malam, 1 Mac lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebat jika disabitkan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser Amri.

Nurul Hanini tidak menawarkan jaminan terhadap kesemua tertuduh, namun Ahmad Adha merayu semua anak guamnya dibenar ikat jamin.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan syarat tambahan, tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat dan tidak mengganggu mangsa.

Kes disebut semula 17 April depan. — HARIAN METRO

Loading...
Terkini