comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Empat pertuduhan salah guna kuasa terhadap Muhyiddin, kekal 

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan terus berdepan perbicaraan atas empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta untuk Bersatu di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Ini susulan keputusan panel lima hakim Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan semakannya.

Pada 28 Februari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan bekas perdana menteri daripada semua tuduhan.

Pengerusi panel Hakim Datuk Azizah Nawawi ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu berkata, pertikaian Muhyiddin bahawa panel sebelum ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan daripada Mahkamah Tinggi akan menjurus kepada keadaan tidak masuk akal.

“(Jika itu berlaku), Mahkamah Tinggi akan mempunyai bidang kuasa tanpa had apabila tertuduh dibebaskan tanpa perbicaraan, katanya sambil menambah, keadaan ini akan menyebabkan pihak pendakwaan tidak mempunyai remedi untuk merayu.

Azizah berkata, Seksyen 50 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 tidak boleh dibaca secara berasingan.

“Seksyen 50 mesti dibaca bersama peruntukan lain dalam Akta Mahkamah Kehakiman dan Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Panel yang mendengar permohonan itu pada 9 Julai turut dianggotai Hakim Datuk Ruzima Ghazali, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.

Muhyiddin didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri antara 8 Februari dan 20 Ogos 2021 berkait program Jana Wibawa dengan berusaha mendapatkan RM232.5 juta untuk Bersatu.–FMT.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini