comscore
Tumpuan :
Fail Mahkamah

FAIL MAHKAMAH: Remaja OKU dikurung, tidak makan berbulan-bulan

Muhammad Firdaus Dullah ketika ditemukan dalam keadaan yang menyayat hati

FAIL MAHKAMAH: “..Saya nampak ada cebisan polisterin, ada najis yang sudah kering dengan bau yang sangat busuk.”

Itu gambaran penemuan seorang remaja lelaki OKU pada 21 Jun 2014, dipercayai selepas dikurung dalam sebuah rumah flat di Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan.

Penemuan adik Muhammad Firdaus Dullah yang berusia 15 tahun ketika itu, nyata menggemparkan negara.

Remaja OKU itu ditemukan dalam keadaan yang menyayat hati, kurus kering dan berbau busuk dalam bilik yang penuh sampah sarap dan najis.

Serbuan oleh pihak imigresen yang pada asalnya bertujuan untuk membanteras lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Flat Semarak, tidak dijangka membawa kepada penemuan yang lebih besar. 

Inspektor Mohd Tarmizi Said

“Penemuan seorang remaja orang kelainan upaya OKU yang dikurung di dalam sebuah rumah di Flat Semarak di Nilai Negeri Sembilan. Sehingga badannya kurus kering umpama mayat. Remaja dipercayai berusia 15 tahun itu diselamatkan oleh Penguatkuasa Imigresen, ketika Ops 6P,” kata Inspektor Tarmizi Said, bekas Pegawai Kanan Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai. 

Menurut penduduk di kejiranan terbabit, mereka tidak tahu tentang kewujudan seorang remaja OKU yang ditinggalkan bersendirian dalam rumah itu.

Namun mereka mengesahkan kehadiran ibunya yang sering berulang-alik dari rumah ke tempat kerja.

Adik Firdaus disahkan menghidap penyakit kelumpuhan otak, yang juga menganggu sistem pertuturan dan pergerakannya. 

Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Mohd Muhsin Ahmad Zahari menjelaskan, “Cerebral Palsy adalah penyakit yang berlaku, yang mengganggu fungsi pergerakan atau dalam bahasa sainsnya macam motor. Motor ini maknanya pergerakan anggota badan kita, tangan, kaki, seluruh anggota badan. Jadi, siapa yang mengalami cerebral palsy ini, dia ada masalah kawalan pergerakan ini.”

Prof. Madya Dr. Mohd Muhsin Ahmad Zahari

Anak bongsu daripada dua beradik itu juga dikategorikan sebagai kanak-kanak istimewa berikutan mempunyai kondisi ‘hyperactive’.

Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar untuk rawatan dan berada di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pemeriksaan lanjut mendapati, berat badan Firdaus ketika dijumpai hanyalah 15 kilogram, dipercayai kerana tidak makan beberapa bulan dan tidak mendapat makanan bernutrisi.

Keadaan adik Firdaus setelah menerima rawatan

Konflik perkahwinan dan masalah kewangan menjadi faktor utama kepada kesukaran ibu Firdaus, Lolanopita Sadi memberi penjagaan terbaik untuk anaknya itu.

Lola dijatuhkan hukuman penjara empat bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban, atas dua pertuduhan mengabai dan membiarkan anak lelakinya tanpa pengawasan selama enam bulan.

Lolanopita Sadi, ibu kepada Firdaus

Untuk paparan dan imbasan terperinci, tonton episod ‘Kurung’ menerusi program Fail Mahkamah pada jam 9 malam, Rabu 10 Januari 2024 di TV3 atau strim menerusi www.tonton.com.my atau aplikasi Tonton.

Loading...
Terkini