TAPAH: Seorang tukang cuci dihukum penjara tujuh hari serta denda RM800 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan memfitnah dan menghasut sehingga didakwa merosakkan nama baik anggota polis yang terkorban dalam insiden tembakan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Mei lalu.
Majistret Anis Zainab Pawanteh memerintahkan tertuduh, Wan Abd Qayyum Wan Mohd Radzuan, 25, menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 5 September lalu, serta lanjutan tempoh penjara selama tujuh hari jika gagal membayar denda.
Anis Zainab turut mengarahkan agar telefon bimbit milik tertuduh yang digunakan sebagai medium sebaran fitnah itu, dilucuthakan kepada kerajaan Malaysia.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan fitnah terhadap Allahyarham Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dengan menyiarkan kepada Nur Azza Assyaqiren Azhar, 29, melalui komen di media sosial Facebook ‘Wan Qayyum.”
Perbuatan itu dikesan dilakukan tertuduh di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Sungai Klah Sungkai, dalam daerah Batang Padang kira-kira jam 2 petang 28 Ogos lalu.
Ia adalah kesalahan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Nabilah Norzam manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Amani Williams-Hunt.
Ketika prosiding berlangsung, Azhar Khaiden, 54, yang juga bapa kepada Allahyarham Ahmad Azza Fahmi dipanggil oleh Noor Nabilah ke kandang saksi bagi memberi pernyataan di hadapan Majistret.
Ketika memberikan pernyataannya, Azhar yang juga bapa kepada Nur Azza Assyaqiren berkata, perbuatan tertuduh itu selain dianggap menyinggung perasaan keluarga mereka, ia juga satu penghinaan baik kepada Allahyarham mahupun kepada keluarganya secara umum.
Ketika mitigasi hukuman Amani Williams-Hunt berkata tertuduh bekerja sebagai tukang cuci di sebuah kilang di Pasir Gudang, Johor dengan pendapatan RM1,500 sebulan.
Selepas hukuman dijatuhkan, Majistret kemudiannya memberi pesanan kepada tertuduh bahawa segala tindakan, percakapan, dan perbuatan akan mendatangkan kesan dan dengan itu mahkamah mengharapkan agar tertuduh selepas ini lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan,” katanya.
Dalam kejadian di Balai Polis Ulu Tiram 17 Mei lalu, Ahmad Azza Fahmi dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terbunuh selepas diserang lelaki bersenjatakan parang, dengan pelakunya dipercayai anggota Jemaah Islamiyah.
Serangan kira-kira pukul 2.45 pagi itu, juga menyebabkan Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.