comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Gagal jelas tunggakan gaji, bekas pemilik Kuantan FA, Marcerra United dipenjara

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bekas pemilik Kelab Kuantan FA serta Marcerra United yang bergelar Datuk Seri menjadi individu pertama dalam sejarah Liga Malaysia (Liga M) ‘dihumban’ ke penjara selepas gagal melunaskan baki tunggakan gaji kepada bekas pemain pasukan itu sekali gus dikenakan hukuman selama tujuh hari di Penjara Sungai Buloh.

Peguam bela yang mewakili 47 pegawai dan pemain pasukan berkenaan, Suhail Rahimi Abdul Razak berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan arahan untuk Datuk Seri itu menyelesaikan jumlah baki RM1.5 juta yang dipersetujui daripada jumlah keseluruhan RM3 juta pada 29 Januari bulan lalu.

Namun, mahkamah memberi ‘masa tambahan’ sehingga 9 Februari lalu tetapi individu berkenaan gagal menyelesaikannya.

Disebabkan itu, pihak mahkamah sudah mengeluarkan satu waran tangkap kepada Datuk Seri berkuat kuasa pagi ini, 13 Februari.

Jelasnya, ini adalah kes saman sivil yang pertama dalam sejarah bola sepak di Malaysia yang membabitkan pemilik kelab yang culas membayar gaji kepada pemain mereka.

Tambahnya, kes ini bukan sesuatu yang mudah kerana ia mengambil masa hampir dua tahun untuk para pemain mendapatkan hak mereka meskipun individu berkenaan sudah melakukan bayaran sedikit demi sedikit dari jumlah secara keseluruhannya.

Bagaimanapun, Datuk Seri itu boleh dilepaskan dari hukuman penjara sekiranya dia berjaya melakukan bayaran penuh.

Terdahulu, menerusi laporan sejak 2022, seorang bekas pemilik kelab Kuantan FA dan Marcerra United bergelar Datuk Seri berdepan risiko dipenjarakan selepas didakwa dengan sengaja ingkar perintah mahkamah untuk membayar tunggakan gaji berjumlah lebih RM6 juta membabitkan 47 individu terdiri daripada bekas pemain dan pegawai pasukan Kuantan FA dan Marcerra United.

Berdasarkan fakta kes, bekas pemain Kuantan FA menuntut sejumlah RM3 juta, manakala bekas pegawai pula sebanyak RM1.2 juta yang sangkut sejak 2018 lalu. Tuntutan sama juga turut dibuat bekas pemain dan pegawai Marcerra United dengan anggaran keseluruhan RM2 juta, untuk menjadikan nilai keseluruhan lebih RM6 juta yang perlu diselesaikan pengurusan kelab terbabit berdasarkan jumlah penuh kontrak yang terlibat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini