comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Gara-gara menegur, wanita dipukul & dicampak ke bawah jambatan

Foto hiasan

KUALA LANGAT: Seorang wanita dipukul dan dicampak ke bawah jambatan oleh sekumpulan lelaki selepas menegur kumpulan itu sering membuat bising di rumah sewa didiami.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, wanita berusia 52 tahun itu dilapor dipukul menggunakan senjata tajam dan rotan, malah mangsa mengalami kecederaan di pergelangan tangan kiri dipercayai akibat ditetak oleh suspek.

AHMAD Ridhwan menunjukkan kayu rotan dipercayai digunakan suspek untuk memukul mangsa. – FOTO: Ihsan PDRM

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa mendiami tingkat bawah sebuah rumah sewa, manakala suspek tinggal di tingkat atas kediaman sama.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa menegur tindakan suspek yang kerap membuat bising dan selalu meminum minuman keras serta mengambil dadah di dalam rumah sewa yang mereka diami.

“Mangsa dipercayai dipukul serta dicederakan dengan senjata tajam dan rotan oleh beberapa lelaki warga tempatan, sebelum dicampak ke bawah jambatan.

“Bertindak atas maklumat, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, menahan lima lelaki warga tempatan secara berasingan antara jam 1 tengah hari hingga 6 petang hari sama di sekitar Banting,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, polis turut merampas sebuah kereta Proton Perdana dan sebatang rotan dipercayai digunakan suspek untuk memukul mangsa.

Beliau berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 30-an dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah serta dadah.

Malah, katanya, hasil saringan air kencing kesemua suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan ganja.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 364 dan 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Loading...
Terkini