comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Guna MyKad palsu, dua warga asing dipenjara 18 bulan

KOTA KINABALU: Dua warga asing masing-masing dipenjara 18 bulan selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan atau MyKad palsu ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Majistret Stephanie Sherron Abbie yang mendengar pertuduhan kedua-dua kes itu turut memerintahkan mereka dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Dalam kes pertama, seorang lelaki warga asing mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu ketika hadir membuat pengesahan dokumen di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kota Kinabalu pada 28 Mei lalu.

Pada tarikh itu, tertuduh, Herman Umar, 36, ditahan Bahagian Kad Pengenalan JPN Kota Kinabalu selepas semakan JPN mendapati nombor kad pengenalan itu tiada dalam rekod jabatan berkenaan.

Sementara itu, dalam kes kedua, seorang wanita warga asing mengaku bersalah memiliki kad pengenalan bertaraf warganegara palsu ketika berurusan di Jabatan Insolvensi Cawangan Kota Kinabalu, di sini, pada 2019.

Bahagian Kad Pengenalan JPN Kota Kinabalu menahan tertuduh pada jam 11 pagi, 29 Mei lalu kerana disyaki memiliki kad pengenalan palsu bertaraf warganegara.

Semakan JPN menunjukkan penama berkenaan hanya bertaraf pemastautin tetap dan bukan warganegara.

Berikutan itu, kedua-dua tertuduh masing-masing didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007) yang boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebihi tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini