comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Guru didakwa pukul guru, pesara kerana rebut parkir

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Gara-gara berebut parkir di kawasan taman perumahan, seorang guru didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memukul seorang wanita, yang juga guru sehingga cedera, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Fuad Jahaya, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan jirannya, Aziah Omar, 54, dengan memukul di kepala dan lengan menggunakan tangannya.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Dalam prosiding sama, tertuduh dan suami mangsa, Rosli Baba, 60, yang merupakan pesara guru turut didakwa atas pertuduhan secara bersama-sama melakukan gaduh gempar dengan memukul antara satu sama lain.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga enam bulan atau dengan denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 1 petang di Jalan Bertam Setia 12, Taman Bertam Setia, Melaka, 19 Disember 2022 lalu.

Difahamkan, pergaduhan itu berpunca daripada perebutan ruang parkir dan berlaku ketika tertuduh mahu menunaikan solat Jumaat di masjid.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohammad Naim Abd. Jalil mencadangkan jaminan sebanyak RM3,000 terhadap Fuad bagi kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan RM5,000 setiap seorang bagi kesalahan gaduh gempar.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar jaminan tersebut dikurangkan dengan masing-masing memberikan alasan perlu menanggung keluarga, selain Rosli memberitahu dia kini merupakan pesara guru.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Mazana kemudian membenarkan Muhammad Fuad diikat jamin sebanyak RM1,000, manakala Rosli RM500 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 13 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Loading...
Terkini