comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Guru didenda RM5,800 sebabkan kemalangan hingga mengorbankan remaja

Mohd Nor Fazli didenda RM5,800 selepas mengaku salah menyebabkan kematian penunggang motosikal dalam kemalangan enam tahun lalu. – Foto: NSTP

MUAR: Seorang guru didenda RM5,800 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang remaja dalam kemalangan jalan raya, enam tahun lalu.

Mohd Nor Fazli Rashid, 43, yang berhadapan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu secara kurang cermat hingga menyebabkan kemalangan terhadap pengguna jalan raya lain dengan kejadian berlaku pada jam 2.15 petang, 18 Mei lalu.

Kesalahan bagi seksyen itu adalah tertuduh boleh didenda sehingga RM10,000 dan juga boleh penjara 12 bulan.

Manakala hukuman bagi sabitan kali kedua atau berikutnya, dia boleh didenda tidak melebihi RM15,000 atau penjara sehingga 23 bulan.

Berdasarkan fakta kes, kemalangan berlaku di Jalan Parit Limbong, dekat sini membabitkan tiga buah kenderaan termasuk kereta dipandu tertuduh.

Kemalangan berlaku apabila kenderaan dipandu tertuduh dalam perjalanan dari Pontian ke bandar ini, hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar motosikal dinaiki remaja berusia 18 tahun ketika itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Arif Marzuki manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh dalam rayuan memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman paling ringan kerana perlu menanggung anak masih bersekolah.

Loading...
Terkini