comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Guru mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual terhadap pelajar perempuan

Foto hiasan

MELAKA: Guru didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan pada Julai lalu.

Muhammad Firdaus Abdull Rashid, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan berkenaan dibacakan dan diterangkan oleh jurubahasa mahkamah.

Prosiding kes didengar Hakim Rohatul Akmar Abdullah, manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain.

Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar perempuan berusia 16 tahun dengan cara memeluk, mencium pipi dan memegang perut mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 11 Julai 2024, kira-kira jam 12.30 tengah hari di bilik sakit, sebuah sekolah di daerah Melaka Tengah, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan. Sebagai tambahan tertuduh hendaklah dipenjara maksimum lima tahun dan dikenakan sebat minimum dua sebatan.

Pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, namun jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara pihaknya mencadangkan RM15,000 berserta syarat dilarang mengganggu mangsa dan melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.

Tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah kerana menanggung mentua serta anak yang masih bersekolah dan isterinya akan menjadi penjamin.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan sementara menanti perbicaraan selesai dengan ikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin serta syarat seperti dipohon pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam pada 25 November depan di Mahkamah Sesyen 2.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini