comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Guru nafi kemuka dokumen palsu tuntut RM1,300

Rozaiman (dua kiri) bersama Mohd Shakuddin (dua kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah. – Foto: NSTP

TAWAU: Seorang guru sekolah menengah di Semporna berdepan dua pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi tuntutan bayaran perkhidmatan berjumlah RM1,300.

Tertuduh, Rozaiman Basari, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah.

Dia didakwa dengan curangnya menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu masing-masing lesen berniaga syarikat Mad Sahirun Kontraktor dan penyata akaun semasa Maybank Islamic atas nama syarikat sama untuk tujuan menipu.

Kedua-dua dokumen itu digunakan sebagai dokumen sokongan kepada invois syarikat terbabit bagi tuntutan bayaran bekalan perkhidmatan bagi Program Kelas Bimbingan Asrama SDPA 2018 berjumlah RM1,300.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Sekolah Menengah Datuk Panglima Abdullah, Semporna pada 8 Ogos 2018.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 468 kanun sama, iaitu hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pemilik syarikat Mad Sahirun Kontraktor, Mohd Shakuddin Samsudin, 33, juga meminta dibicarakan atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat mengemukakan dokumen palsu berkenaan bersama Rozaiman.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 17 Oktober depan dan dibenarkan ikat jamin RM10,000 (deposit RM3,000).

Kedua-dua tertuduh juga diarah melapor diri di SPRM Tawau dua bulan sekali, dilarang mendekati saksi-saksi pendakwaan serta pasport diserahkan kepada Mahkamah.

Loading...
Terkini