comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Guru sekolah rendah didakwa lakukan amang seksual terhadap bekas pelajar lelaki

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang guru sekolah rendah hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap bekas pelajar lelakinya yang kini berusia 13 tahun, lima bulan lepas.

Wen Beng Heng, 54, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jinjang Utara pada kira-kira 10.30 malam pada pertengahan April lepas mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Wen berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun serta sebatan dan sebagai tambahan hukuman bagi Seksyen 16(1) itu, boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan boleh juga dihukum sebatan tidak kurang dua sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin.

“Namun sekiranya mahkamah ingin memberikan jaminan terhadap tertuduh, pendakwaan mohon supaya ditetapkan sebanyak RM50,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis, pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa, keluarga (mangsa) serta saksi pendakwaan,” katanya.

Peguam S.Muraliraj pula memohon mahkamah membenarkan jaminan atas alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga dan telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan pihak polis.

Hakim Azrul Darus, yang membenarkan Wen diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh supaya melaporkan diri sebulan sekali di Balai Polis Jinjang serta menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai, menetapkan 21 Nov ini untuk sebutan.

Di mahkamah sama, Setiausaha Badan Pengurusan Bersama (JMB) Program Perumahan Rakyat (PPR) Abdul Halim Mohamed Nasir mengaku tidak bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun lima bulan.

Abdul Halim, 60, didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat JBM di PPR, Wangsa Maju di sini pada 10.35 malam 9 Sept lepas.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan Abdul Halim melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan selain dilarang mengganggu mangsa dan keluarganya serta menetapkan 21 Nov untuk sebutan kes itu. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini