comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Hadi beri keterangan sejam berhubung petisyen batal keputusan PRU-15 Parlimen Marang

Abdul Hadi hadir memberi keterangan berhubung petisyen difailkan UMNO untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Marang hari ini. – FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang selesai memberi keterangan selama sejam di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, berhubung petisyen difailkan UMNO untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dimenanginya bagi Parlimen Marang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang tiba di mahkamah pada jam 9 pagi tadi dan menjadi saksi ketiga pihak responden memberi keterangan pada perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya.

Abdul Hadi yang ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu, berkata perbicaraan hari ini berjalan lancar dan sudah menjawab semua soalan diberikan.

“Tak ada apa, biasa (dan) saya jawab semua soalan peguam kita (responden) dan peguam dia (pempestiyen).

“Insya-Allah kerana ia tak membabitkan kesalahan undang-undang pilihan raya, (ia) lebih berlaku dari segi perang saraf kerana UMNO tak menang melalui pilihan raya tetapi nak menang melalui mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang bertindak sebagai peguam mewakili Abdul Hadi berkata, pihak responden sudah selesai memanggil ketiga-tiga saksi mereka dengan Ahli Parlimen Marang itu adalah saksi terakhir.

Katanya, ketika ini, pihak pempestiyen belum selesai memanggil saksi bagi pihak mereka.

“Mereka kemukakan saksi (dan apabila selesai), kemudian kita akan berhujah,” katanya.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 12 Februari lalu menolak bantahan awal yang dikemukakan Abdul Hadi untuk membatalkan petisyen keputusan PRU15 bagi Parlimen Marang yang difailkan calon BN.

Hassan kemudian menetapkan 6 hingga 21 Mac sebagai tarikh perbicaraan penuh bagi petisyen berkenaan.

Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.

Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Loading...
Terkini