comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Hasutan terhadap institusi diraja, penganggur dipenjara sebulan, denda RM4000

Oleh: Selwam Arjunan

SUNGAI PETANI: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini,  atas kesalahan membuat hantaran hasutan terhadap institusi diraja di TikTok miliknya pada Julai lalu.

Majistret, M.Kalaiarasi juga memerintahkan tertuduh, Nor Ismail Amran Ghazilah, 42, dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda.

Menurut pertuduhan, lelaki itu didakwa menerbitkan penerbitan menghasut melalui aplikasi TikTok iaitu ‘Negeri Kedah curi hasil negeri lain-lain.. Sultan Kedah pencuri sebenar ketika itu, saya cabar seluruh Istana Anak Bukit dan mencabar Sultan Kedah’.

Kesalahan didakwa melakukan kesalahan di Pekan Sungai Petani pada jam 10 malam, 6 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Nor Ismail merayu agar hukuman diringankan dan memberitahu mahkamah bahawa dia tidak bermaksud untuk menghasut kerana tidak membuat ucapan dan hanya menulis di Tik Tok sahaja.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, S. Preeya memohon hukuman penjara yang setimpal kerana hasutan terhadap institusi diraja selain memberi pengajaran kepada tertuduh agar lebih berhati-hati menggunakan media sosial serta memberi pengajaran kepada orang awam.

Majistret juga menolak rayuan tertuduh untuk menghalang media melakukan liputan kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini