comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Hina Sultan Selangor: Rayuan Wan Ji Wan Hussin ditolak

Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin.- Foto: NSTP

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini sebulat suara menolak rayuan penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin terhadap sabitannya yang didapati bersalah menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, 11 tahun lalu.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara menolak rayuan sabitan Wan Ji selepas mendapati ia tidak mempunyai sebarang merit.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan rayuan Wan Ji terhadap hukuman dengan memerintahkan beliau hanya dipenjara sembilan bulan seperti diputuskan Mahkamah Sesyen pada 9 April 2018, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menambah hukuman itu kepada setahun.

Berhubung isu Akta Hasutan 1948 yang didakwa oleh perayu (Wan Ji) sebagai tidak berperlembagaan dalam rayuannya, Hadhariah dalam penghakimannya, berkata, tidak ada apa-apa yang salah mengenai undang-undang itu.

“Kebebasan bersuara tidak bermaksud kita boleh bercakap sesuka hati. Perkataan yang dikatakan dalam hantaran Facebook memang tidak sesuai.

“Kalau kita ini genius sekali pun dalam bab agama, jangan kita meperlekehkan orang lain,” katanya.

Wan Ji, didakwa pada 10 September 2014, menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook (FB) dengan nama wanji.attaaduddi.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini, pada 10 pagi, 5 November 2012.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 iaitu denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Loading...
Terkini