comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Hos jualan dalam talian mengaku bersalah ugut, pukul tunang

Tertuduh yang mengugut dan mencederakan tunangnya (baju putih) dibawa ke Mahkamah Majistret Tampin.

TAMPIN: Seorang wanita bukan sahaja diugut bunuh oleh tunangnya tetapi turut ditumbuk sehingga cedera dalam kejadian pada 17 Mei lalu.

Lelaki itu yang juga seorang hos jualan dalam talian dituduh di Mahkamah Majistret di sini, tadi, dengan dua pertuduhan.

Tertuduh, Megat Amir Muhaimin Megat Azhar dari Puchong, Selangor mengaku bersalah sebaik dua pertuduhan itu dibaca di hadapan Majistret Kartini Kasran.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati menakutkan secara jenayah terhadap mangsa wanita berusia 26 tahun itu dengan mengeluarkan perkataan berbaur ugutan.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di hadapan sebuah restoran makanan segera di Rembau pada jam 11.30 pagi 17 Mei lalu.

Dia didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 dan penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada tarikh dan masa sama didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas wanita itu dengan cara menumbuk di bahagian pipi kanannya.

Berikutan itu tertuduh melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,200 dan boleh dipenjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hishami manakala tertuduh diwakili peguam Siti Syuhada Mohd Isa dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini