comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] ‘Hot Daddy’, dua wanita didakwa lagi jual video lucah 

 

KUALA LUMPUR: Lelaki yang dikenali sebagai ‘Hot Daddy’ bersama dua wanita sekali lagi dihadapkan di mahkamah di sini hari ini, atas tuduhan menjual video lucah, dua bulan lalu.

Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32; Norhidayah Mahadi, 24, dan Norshazrina Md Zamri, 27, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemuka terhadap mereka di hadapan Majistret, Nurul Izzah Shaharuddin.

Mengikut pertuduhan di Mahkamah Majistret, ketiga-tiga mereka didapati menjual rakaman video lucah di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) di Wangsa Maju, antara jam 11.47 dan 11.54 malam, pada 15 Januari lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Di Mahkamah Sesyen pula, Hasli Ikhwan dan Norhidayah didakwa dalam milikan bahan lucah bertentangan kesopanan awam ketika berada di pejabat sama, jam 4 petang pada 22 Januari lalu.

Kesalahan mengikut Seksyen 5 (1) (a) Akta Penapisan Filem 2002 yang membawa hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal dan Sheryn Yong Shi Yee, manakala tertuduh terbabit diwakili peguam, Mohd Faris Abrar Othman, Mohammed Hissham Ramdzan dan Nurul Aeir S Muhammad Harvian Kamar.

Majistret membenarkan jaminan RM4,000 bagi setiap tiga tertuduh itu, manakala Hasli Ikhwan dan Norhidayah masing-masing diikat jamin RM5,000 oleh Nor Hasniah.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula kes.

Pada 26 Januari lalu, Hasli Ikhwan, Norhidayah dan Norshazrina mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali, atas tuduhan mempromosi aktiviti seks untuk keuntungan.

Pendakwaan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 15 tahun, sebatan dan denda jika disabit kesalahan.

Ketiga-tiga tertuduh ditahan pada 17 Januari lalu, oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dalam serbuan di sebuah rumah di Janda Baik, Pahang.

Siasatan polis mendapati suspek menjual video berkenaan dalam aplikasi X dengan harga RM100 dan RM20 masing-masing bagi 200 serta 13 video sebulan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini