comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Hukuman Najib Bukti Kerajaan Telus, Tidak Pilih Kasih

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak membuktikan kerajaan tidak campur tangan dalam sistem perundangan negara.

Bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohammad Zin, berkata ia menutup terus ruang yang boleh dimanipulasi oleh sesetengah pihak bahawa bekas Perdana Menteri itu akan ‘diselamatkan’ oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kerajaan BN berada dalam pemerintahan di mana ia menutup terus bahawa kerajaan campur tangan dan melambangkan sistem kehakiman kita benar-benar bebas walaupun membabitkan kes berprofil tinggi dan sensitif seperti ini.”Saya menyambut baik ketegasan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam mengekalkan sabitan terhadap kes itu,” katanya.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Susulan itu, Ahli Parlimen Pekan berkenaan dibawa ke Penjara Kajang, petang semalam bagi menjalani hukuman terbabit.

Bahri memainkan peranan utama sebelum ini dalam siasatan kes SRC pada 2015 sebelum ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Beliau yang memegang jawatan Pengarah Bahagian Operasi Khas sejak 16 Jun 2014 bersara awal berkuat kuasa 30 Disember 2016 berikutan keengganan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk mengeluarkan izin mendakwa ke atas sasaran kes berkenaan.

Bahri bagaimanapun kembali kepada SPRM pada Mei 2018 bagi membantu menyambung semula penyiasatan kertas siasatan kes SRC.

Pada masa sama, mengimbau kembali pengalaman siasatan kes SRC itu, Bahri berkata, paling tidak boleh dilupakannya apabila pasukannya difitnah, diugut dan ditawarkan dengan habuan bagi menghentikan tugasan mereka.

“Paling tidak boleh saya lupakan ialah apabila Timbalan Pendakwa Raya SPRM dan beberapa pegawai BOK ditahan sebelum difitnah.”Saya pernah berasa ‘keseorangan’ ketika anak buah saya dianiaya dan saya sendiri ditukarkan ke JPM ketika itu,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini