comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Hukuman terhadap anggota polis minta rasuah RM100 kekal

FOTO hiasan.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, mengekalkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM10,000 yang dijatuhkan ke atas seorang anggota polis kerana meminta serta menerima rasuah RM100 daripada seorang lelaki berhubung rim tayar motosikal.

Hakim Datuk Ahmad Bache membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Norul Ezwan Nasir, 38, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen pada 19 Mei 2022.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Syaheera Rosli, yang mewakili Norul Ezwan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dan sabitan terhadap anak guamnya sementara menunggu rayuan didengar serta diputuskan di Mahkamah Rayuan.

Dalam penghakimannya, Ahmad berkata, keterangan perayu di peringkat pembelaan adalah penafian semata-mata dan tidak disokong oleh mana-mana dokumen.

“Tiada sebab untuk mahkamah ini mengganggu sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh hakim Mahkamah Sesyen. Oleh itu, rayuan perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman ditolak,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen pada 2021 melepas dan membebaskan Norul Ezwan daripada kedua-dua pertuduhan selepas memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pendakwaan kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi yang memerintahkan anggota polis itu membela diri.

Pada 19 Mei 2022, Norul Ezwan dihukum penjara 10 tahun dan denda RM10,000 selepas Mahkamah Sesyen mendapati dia bersalah.

Tertuduh kemudian memfailkan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu.

Dia didakwa meminta dan menerima RM100 daripada Ahmad Syafiq Ahmad Sahrul sebagai dorongan untuk menyerahkan semula rim tayar yang telah dirampas kerana disyaki barang curi di Tingkat 6, Bahagian Siasatan Jenayah, Balai Polis Travers di sini pada 5 Oktober 2018. – BERNAMA

Loading...
Terkini