comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Hukuman wanita simbah anak dengan air panas diringankan

 

Foto: NSTP

MELAKA: Seorang wanita yang sebelum ini dihukum tiga tahun penjara atas kesalahan menyimbah anak lelakinya dengan air panas bernasib baik apabila hukumannya dikurangkan kepada penjara selama tempoh dijalaninya ketika ini oleh Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, hari ini.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan perayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada 31 Januari lalu yang mensabitkan hukuman tiga tahun penjara atas pertuduhan itu.

Beliau berpuas hati dengan alasan perayu bahawa itu kesalahan pertamanya yang juga perlu menjaga bayi berusia lapan bulan selain kejadian itu terpencil dan tiada rekod anak-anak lain turut didera.

.”..dengan ini saya membuat perintah tertuduh dipenjarakan pada tempoh masa yang mana beliau akan dibebaskan pada hari ini,” katanya.

Perayu yang diwakili peguam Samry Masri, Mohd Wafiyuddin Al-Awal dan Khairunnisa Zamhari memfailkan rayuan pada 13 Februari lalu kerana tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Sesyen itu.

Dalam rayuannya ibu kepada lima anak itu juga menyatakan dia menghidap penyakit psikiatri serta mempunyai seorang anak autisme.

Sementara itu, Samry berkata, keputusan itu menyaksikan anak guamnya hanya menjalani hukuman penjara selama enam bulan dan tiga hari di Kompleks Penjara Melaka, Sungai Udang.

“Anak guam akan dibebaskan hari ini selepas mahkamah bersetuju mengurangkan hukuman penjara tiga tahun kepada selama mana dia sudah menjalani hukuman.

“Hari ini dia boleh kembali ke pangkuan keluarga terutama anaknya yang berusia lapan bulan.

“Dia bersyukur dan insaf atas apa yang berlaku apatah lagi kes ini terpencil dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, perayu berkata, dia tidak menyangka rayuannya akan dibenarkan dan amat bersyukur.

.”..Saya tidak berharap tapi hari-hari doa di dalam penjara minta Allah permudahkan segala urusan (rayuan).

“(Rasa) bersyukur sangat, Allah bagi peluang lihat dunia luar lagi dan dapat jaga anak-anak yang masih kecil. Rasa macam bulan jatuh depan mata saya.

.”..saya tetap sayang dan maafkan anak, dia tetap anak saya dan darah daging saya sampai bila-bila,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Nazrin Ali Rahim mewakili pihak responden.

Perayu sebelum ini didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas anak lelakinya yang ketika kejadian berusia 13 tahun dengan cara menyimbah air panas ke arah mangsa di sebuah rumah di taman perumahan kakitangan kerajaan di Sungai Udang, pada 27 Jun 2022 jam 2.56 pagi.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini