comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Ibu bapa berjaya bawa kes bayi maut tersedak susu ke mahkamah

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri berjaya dalam permohonan untuk memasukkan penghakiman ingkar terhadap dua pengasuh dalam saman yang didakwa cuai menjaga bayi perempuan sulung mereka berusia tiga bulan yang meninggal dunia akibat tersedak susu, tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Zawiyah Saad membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Mohd Rafi Abd Razak, 26, dan isterinya Anis Amalina Mazlin, 28 selaku plaintif terhadap dua pengasuh masing-masing berusia 58 dan 35 tahun itu sebagai defendan yang mana saman itu difailkan pada 9 April lalu.

Peguam Muhammad Hariz Md Yusoff yang mewakili pasangan suami isteri itu berkata, mahkamah telah merekodkan penghakiman ingkar pada 7 Mei lalu dan membenarkan tuntutan yang difailkan plaintif.

“Anak guam kami telah memfailkan saman mengikut prosedur dan teratur, namun defendan (dua pengasuh) telah memasukkan kehadiran untuk menjawab saman itu lewat.

“Defendan juga difahamkan telah melantik peguam hanya selepas penghakiman ingkar direkodkan mahkamah,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Muhammad Hariz memaklumkan setakat ini tarikh baharu bagi prosiding seterusnya belum ditetapkan.

Terdahulu berdasarkan tuntutan saman yang dikemukakan plaintif, pasangan itu mendakwa pada 15 Jun 2023, plaintif pertama iaitu bapa si mati menghantar anaknya ke rumah defendan sekitar jam 6.48 pagi.

Namun pada jam 11.40 pagi hari yang sama, bapa bayi menerima panggilan daripada pengasuh yang memaklumkan bahawa bayinya dalam keadaan lemah dan tidak bernafas sambil menggesa plaintif untuk pulang segera.

Bapa bayi turut memaklumkan kepada pengasuh itu supaya menghubungi pihak ambulans dengan segera bagi mendapatkan bantuan perubatan segera terhadap si mati.

Dalam perjalanan pulang, plaintif menghubungi defendan bagi mendapatkan status keberadaan anaknya dan telah dimaklumkan oleh defendan bahawa si mati telah diambil oleh ambulans namun tiada maklumat si mati dibawa ke hospital mana.

Hal itu menyebabkan plaintif pertama terpaksa bergegas pergi ke hospital berdekatan iaitu Hospital Putrajaya.

Plaintif mendakwa, defendan membiarkan anaknya berseorangan dalam ambulans serta tidak mengambil peduli keberadaan atau hala tuju ambulans yang menunjukkan defendan tidak peduli keadaan anaknya ketika itu.

Pihak Hospital Putrajaya kemudian mengesahkan anaknya ketika kejadian sudah tidak bernafas meskipun bantuan kecemasan sudah diberikan oleh pihak hospital dan bayi itu disahkan meninggal dunia pada jam 12.17 tengahari, hari sama.

Mengikut maklumat, plaintif dimaklumkan bahawa keadaan perut anaknya pada masa itu dipenuhi dengan susu apabila terdapat banyak susu yang keluar melalui mulut dan hidung ketika bantuan kecemasan diberikan.

Justeru, plaintif memfailkan saman bahawa kematian bayi terbabit adalah disebabkan tindakan pengabaian dan kecuaian defendan yang memberi susu secara berlebihan kepada bayi tanpa pemantauan dan perhatian yang penuh dan rapi oleh dua defendan terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini