Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Ibu bapa Zayn Rayyan mohon batal pertuduhan abai anak

Zayn Rayyan Abdul Matiin. – Foto fail NSTP

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PETALING JAYA: Pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf memfailkan permohonan bagi membatalkan pertuduhan yang mendakwa mereka mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matin sekaligus memohon dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Perkara itu dimaklumkan peguam, Haresh Mahadevan ketika sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, pagi tadi.

Menurutnya, notis usul itu difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 21 Januari lalu dengan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, mereka memohon untuk dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan yang dikenakan kepada mereka.

Menerusi afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu yang diperoleh menerusi pihak pembelaan, mereka mendakwa pertuduhan jenayah dikenakan terhadap pasangan itu tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.

“Kami membaca pertuduhan itu dan tidak menemui sebarang butiran mengenai kesalahan yang didakwa, kami tidak tahu bagaimana untuk mempertahankan diri berdasarkan pertuduhan.

“Kami tidak dapat memberi arahan kepada peguam bela kerana tidak menemui butiran dalam pertuduhan yang boleh dijawab dan tidak tahu dengan tepat apa yang dituduh pendakwaan terhadap kami, oleh itu kami tidak dapat menyediakan pembelaan.”

Menurutnya, mereka percaya pertuduhan dihadapi tidak mematuhi Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah sekaligus tidak diberi hak perlembagaan untuk perbicaraan adil yang dijamin di bawah Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Kami benar-benar percaya pertuduhan itu harus diketepikan dan dibatalkan kerana kekurangan butiran yang serius.”

“Pemohon-pemohon telah diprejudiskan dengan serius akibat daripada kesemua pertuduhan jenayah tersebut yang telah menyebabkan kegagalan keadilan yang memerlukan kesemua pertuduhan tersebut diketepikan dan dibatalkan.” Katanya dalam afidavit sokongan.

Dalam prosiding pagi tadi, peguam bela Haresh Mahadevan mengesahkan notis usul itu telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) menerusi emel, semalam.

Pihak pembelaan turut memohon supaya perbicaraan yang sepatutnya berlangsung pada 3 Februari, ditangguhkan.

“Sekiranya perbicaraan diteruskan tanpa keputusan permohonan itu, ia akan jadi satu perbicaraan yang sia-sia.”

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin mengesahkan menerima permohonan yang dikemukakan.

“Permohonan baru masuk dua hari lepas, jadi pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah, memandangkan kita tidak tahu status permohonan untuk satu tarikh sebutan pada minggu depan bagi mengemas kini status permohonan yang difailkan.”

Hakim Mahkamah Sesyen Dr. Syahliza Warnoh kemudiannya menetapkan tarikh 28 Januari bagi pengurusan kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini