
JOHOR BAHRU : Seorang ibu tunggal dan rakan serumahnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menganiaya dan mengabaikan anak kandungnya, sejak bulan lalu.
Tertuduh, Nurul Asyiqin Mohamad Zahir, 27, dan Awiin Chua, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan Di hadapan Hakim Fatimah Zahari.
Kedua-dua tertuduh yang tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 8.40 pagi diiringi anggota polis, dilihat sentiasa mengalirkan air mata sehingga prosiding selesai.
Turut hadir ke mahkamah dan berada di galeri awam adalah abang kepada Nurul Asyiqin dan abang kepada Awiin yang datang dari Singapura.
Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang di bawah pemeliharaan mereka sehingga menyebabkan mangsa menghadapi kecederaan fizikal.
Manakala, bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mencapai niat bersama mengabaikan kanak-kanak yang juga anak kandung Nurul Asyiqin ketika mangsa di bawah pemeliharaan mereka.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Jalan Wau Kikik 7, Bandar Layangkasa, Pasir Gudang di sini, antara 1 Julai hingga 9 Ogos lalu.
Pendakwaan kedua-dua pertuduhan itudibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Tertuduh pertama (Nurul Asyiqin) adalah ibu kandung kepada mangsa yang mana dia telah mengambil kanak-kanak itu daripada jagaan datuk dan neneknya di Pokok Sena, Kedah sebelum dibawa lari ke negeri ini, tetapi dalam penjagaannya dia gagal menjaga anaknya sehingga terdapat kecederaan fizikal serta diabaikan.
“Tertuduh kedua (Awiin) pula yang juga seorang warga Singapura tinggal serumah dengan tertuduh pertama yang mana walaupun tiada talian darah, tertuduh turut diberi tanggungjawab menjaga mangsa ketika di rumah.
Mahkamah kemudian membenarkan Nurul Asyiqin diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, manakala Awiin yang juga wanita berperwatakan lelaki (tomboi) itu dibenarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.
Mahkamah menetapkan kepada kedua-dua tertuduh untuk perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai dan diberi amaran supaya tidak boleh mengganggu mangsa.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 September depan sementara menunggu laporan perubatan mangsa dari Hospital Sultan Ismail (HSI).
Sebelum ini media melaporkan beberapa penduduk taman perumahan di Bandar Layangkasa, Pasir Gudang menyerbu sebuah selepas mengesyaki berlaku penderaan terhadap kanak-kanak.
Video kejadian itu turut tular di media sosial selepas penduduk merakam kecederaan teruk yang dialami kanak-kanak malang terbabit.