comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Ibu tunggal didakwa sembunyi wang RM15,500

Foto hiasan

MELAKA: Ibu tunggal didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan menyembunyikan wang tunai berjumlah RM15,500 milik seorang wanita warga emas, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Yusmahayati Shurizan Abdullah, 47, dari Kampung Kempedang, Pahang mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Dia didakwa menyembunyikan harta milik Marhamah Ahmad, 73, iaitu wang tunai RM15,500 melalui akaun bank miliknya di Jalan TU 36, Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, antara 13 hingga 18 Disember 2019, dengan mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa harta itu diperoleh dengan cara penipuan.

Dia dituduh mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Ishak Mohd Kari merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya ibu tunggal yang mempunyai masalah pendengaran dan menanggung anak kecil.

Katanya, tertuduh hanya bekerja kontrak dan menanggung anak kecil selain akan menjalani pembedahan untuk masalah pendengarannya.

Majistret Mazana membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Loading...
Terkini