comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Ibu Tunggal Dituduh Cuba Bunuh Anak Perempuan

Foto: NSTP

Seorang ibu tunggal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini atas tuduhan cuba membunuh anak perempuannya, pada 13 Julai lalu.

Tertuduh, Syarifah Norain Mohamad Zali, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Syarifah Norain yang tidak bekerja didakwa cuba membunuh anak perempuannya berusia setahun sembilan bulan, dengan membuangnya ke dalam longkang di Lorong Pandan di sini pada pukul 8.40 malam, 13 Julai.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam satu lagi pertuduhan, Syarifah Norain mengaku bersalah mendatangkan kecederaan kepada anak yang sama pada pukul 9.40 malam di tempat serta tarikh yang sama, dan kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nabilalif Mohd Rosli menawarkan jaminan RM25,000 bagi kedua-dua pertuduhan ke atas Syarifah Norain, yang tidak diwakili peguam sebelum hakim membenarkan ikat jamin RM12,000 dan menetapkan 26 Ogos depan, untuk fakta hukuman serta pengurusan kes.–BERNAMA

Loading...
Terkini