KUALA SELANGOR: Seorang wanita dan teman lelaki dijatuhi hukuman penjara dua tahun serta bon berkelakuan baik selama dua tahun selepas tempoh pemenjaraan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menganiaya kanak-kanak.
Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza menjatuhkan hukuman itu selepas wanita berusia 32 tahun itu dan teman lelakinya, Mohamad Amir Rosdi, 26, mengaku bersalah.
Pada prosiding sama, wanita itu mengaku mangsa adalah anak tunggalnya dan tidak mempunyai anak lain.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dengan cara memukul, mencubit, memijak dan menyiram air panas pada tubuh badan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu dilakukan di rumah di sini, antara 13 Ogos hingga 4 September lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (KK).
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Suhaili Abu Bakar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.