comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Individu pamer gambar Agong pada kempen PRK KKB dipenjara sebulan, denda RM3,000

P. Ramasamy dipenjara sebulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu di sini hari ini, kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu. – FOTO: NSTP

HULU SELANGOR: Seorang lelaki dipenjara sebulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu di sini hari ini, kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret, menjatuhkan hukuman itu ke atas P. Ramasamy, 66, selepas lelaki itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Mahkamah mengarahkan Ramasamy yang berkerja sendiri itu, untuk menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada 4 Mei dan akan dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Ramasamy didakwa melakukan perbuatan itu dan membawa sepanduk Pakatan Harapan (PH) menggunakan kenderaan pacuan empat roda, dengan kecenderungan untuk mengembangkan perasaan permusuhan antara golongan pengundi yang berbeza dalam PRK KKB, untuk mendorong mana-mana pengundi supaya mengundi calon PH.

Perbuatan itu dilakukan di sekitar Taman Bukit Bunga dekat sini pada kira-kira 5.40 petang, 4 Mei.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(A)1 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ramasamy dalam rayuannya memohon maaf kepada mahkamah selain meminta diberikan hukuman ringan, atas alasan beliau tidak mengetahui bahawa tindakan berkenaan adalah salah.

Asmah pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, bahkan untuk rakyat Malaysia supaya kejadian seperti itu tidak lagi berulang.

“Saya mohon hukuman berat diberikan kepada tertuduh dengan mengambil kira kes dan kesalahan yang dilakukan telah melibatkan dan menghina Yang di-Pertuan Agong. Ini merupakan satu isu sensitif dan boleh menimbulkan kemarahan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan polis menahan dua lelaki dan merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada kempen PRK KKB. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini