comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Inspektor terima rasuah dipenjara 12 bulan, denda RM18,000

Foto hiasan

TAWAU: Pegawai polis berpangkat Inspektor dihukum penjara 12 bulan dan didenda RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini, selepas didapati bersalah menerima rasuah RM3,500 berkaitan kes kesalahan trafik yang dikendalikannya tujuh tahun lalu.

Hakim Jason Juga membuat keputusan itu terhadap Roney Saimeh Sakah, 44, selepas mendapati pihak pembelaan gagal mematahkan anggapan statutori mengikut Seksyen 50(1), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 di atas imbangan kebarangkalian terhadap satu pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta yang sama, pada akhir kes pembelaan.

“Selepas mendengar rayuan bagi pihak tertuduh, hujahan balas pihak pendakwaan, selain mempertimbangkan fakta kes, sifat kesalahan dan kepentingan awam, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara selama satu tahun dan denda RM18,000.00, jika gagal membayar denda, boleh dipenjara selama tiga bulan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Roney didakwa menerima suapan sebanyak RM3,500 daripada Rostam Arsad pada April 2017 di Pejabat Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu sebagai dorongan menyelesaikan kes kemalangan yang disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tidak membuat pertuduhan berkenaan di mahkamah.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Tertuduh yang mula berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2001 itu, kali pertama dihadapkan ke Mahkamah pada 20 Februari 2020 dengan perbicaraan penuh bermula 8 Mac tahun lalu dan mahkamah mendengar keterangan 20 saksi pendakwaan serta tiga saksi pembelaan (termasuk tertuduh sendiri).

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi dalam hujahan berkata, kesalahan rasuah adalah kesalahan serius apatah lagi membabitkan pegawai polis kerana mencemar nama baik penjawat awam lain dan tertuduh sendiri.

Tegasnya, walaupun nilai suapan dalam kes itu tidak membabitkan jumlah ratusan ribu ringgit namun kesan jenayah rasuah jauh lebih buruk dan lebih malang lagi dilakukan oleh pegawai polis yang mempunyai peranan membanteras jenayah dan menegakkan undang-undang.

Sementara itu, peguam Zahir Shah menerusi rayuan memohon diringankan hukuman mengambil kira faktor anak guamnya kini berdepan masalah kewangan serta mempunyai tanggungan seorang isteri dan seorang anak.

Selain itu, beliau turut memohon penangguhan hukuman sementara pihaknya mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan penangguhan hukuman pemenjaraan terhadap tertuduh namun memerintahkan denda RM18,000 dijelaskan kepada mahkamah hari ini juga, selain rayuan hendaklah difailkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh sabitan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini