comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Intai wanita dalam tandas, pencuci pinggan dipenjara 5 bulan

FOTO: NSTP

BATU PAHAT: Seorang pencuci pinggan yang ditahan kerana mengintai wanita dalam tandas awam hingga videonya tular di media sosial, Khamis lalu dipenjara lima bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Shee Ah Lai, 24, yang turut mempunyai lapan rekod lampau termasuk mencuri sabun di kedai serbaneka, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengaibkan seorang wanita berusia 29 tahun dengan cara mengintainya dalam tandas awam wanita di tingkat bawah Square One Shopping Mall, Jalan Flora Utama, 12.30 tengah hari, 13 Jun lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dengan penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, mangsa dilaporkan menggunakan tandas awam terbabit sebelum melihat kelibat lelaki dari tandas sebelah.

Mangsa ternampak seorang lelaki sedang mengintainya melalui ruang bawah antara tandas sebelah dengan tandas digunakan wanita itu.

Pada masa sama, mangsa menjerit meminta pertolongan selain turut menjirus air ke arah tertuduh.

Jeritan mangsa didengari pengawal keselamatan yang kemudiannya menahan tertuduh sedang bersembunyi dalam tandas bersebelahan lalu diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, pihak pendakwaan turut mengemukakan lapan kes lampau pelbagai kesalahan tertuduh termasuk mencuri dan juga pecah rumah kepada mahkamah.

“Berdasarkan kes lampau, pihak pendakwaan mendapati tertuduh tidak pernah insaf malah masih mengulangi kesalahan jenayah. Jadi, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh,” hujahnya.

Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bermula dari tarikh tertuduh ditahan, 13 Jun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini