Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Kerajaan mendapat penggantungan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memindah milik tanah seluas 106 hektar di mukim Batu kepada Semantan Estate Sdn Bhd.
Keputusan membenarkan permohonan kerajaan itu dibuat Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, selepas mempertimbang kepentingan awam di kawasan berkenaan.
Menurut Ahmad Shahrir, kes ini adalah luar biasa memandangkan sifat pertikaian dan jangka masa yang diambil.
Justeru, sebarang pertimbangan perlu mengambil kira latar belakang kes yang unik
Katanya, penangguhan sementara menunggu penentuan rayuan itu, tidak akan menjejaskan plaintif.
Pada 8 Ogos lalu, kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya memindah milik tanah berkenaan kepada Semantan Estate.
Ini selepas mahkamah memutuskan kerajaan mengambil alih tanah itu secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.
Tanah yang dikenali sebagai Duta Enclave itu, menyaksikan pembinaan beberapa kompleks kerajaan, taman kemudahan serta beberapa mercu tanda.
Antaranya, Stadium Hoki Nasional, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.