comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Jana Wibawa: Kes Adam Radlan dipindah ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Pertuduhan rasuah terhadap Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) di Mahkamah Sesyen Shah Alam akan dibicara bersama dengan kes di dua Mahkamah Sesyen, di sini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Siti Amirah Muhammad Ali, hari ini.

Dalam prosiding itu, Siti Amirah berkata, anak guamnya didakwa atas satu tuduhan menerima rasuah RM2 juta di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan hakim membenarkan kes itu dipindahkan ke mahkamah di sini.

Manakala di mahkamah ini, Adam Radlan katanya turut didakwa meminta rasuah RM2 juta .

“Susulan itu, pendakwaaan memohon supaya kedua-dua kes ini dibicarakan bersama. Kami menyerahkan sebahagian dokumen kes itu kepada pasukan pembelaan, jadi pendakwaan memohon satu tarikh lain ditetapkan untuk serahan baki dokumen itu,” katanya.

Azura kemudian menetapkan 14 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi serahan baki dokumen itu.

Adam Radlan (kiri) hadir untuk sebutan kes. – FOTO Fathil Asri

Sementara itu, di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali, Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat memaklumkan kes menerima rasuah RM2.1 juta berhubung projek Jana Wibawa yang dihadapi Adam Radlan dipindahkan ke mahkamah di sini.

Bagi pertuduhan itu Adam Radlan mengaku tidak bersalah.

“Kami mohon mahkamah mengguna pakai jaminan yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Shah Alam,” katanya.

Siti Aminah membenarkan perkara itu dan menetapkan 14 Julai depan bagi sebutan semula kes.

Dalam kes ini, tertuduh diwakili peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam.

Pada 21 Februari lalu, ahli perniagaan itu dituduh di Mahkamah Sesyen, di sini, atas satu pertuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd Mat Jusoh Mamat.

Dia turut didakwa menerima suapan RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan secara rundingan terus bernilai RM47.8 juta.

Keesokan hari, dia didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima rasuah   RM2 juta dan RM2.1 juta berhubung projek Jana Wibawa manakala pada 28 Februari, dia menghadapi pertuduhan kelima meminta rasuah RM2 juta, tahun lalu.

Loading...
Terkini