comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Jana Wibawa: Pendakwaan mohon kes Adam Radlan didengar di KL

Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi tuduhan berkaitan Jana Wibawa. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan memohon kes Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, atas dua pertuduhan menerima rasuah RM4.1 juta berkaitan projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini.

Ia bagi membolehkan perbicaraan didengar secara bersama berikutan Adam Radlan turut dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan membabitkan projek sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaidi, berkata sebutan kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam ditetapkan pada 14 April depan.

 

“Pendakwaan berhasrat untuk memindahkan kes terhadap Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut itu ke Mahkamah Sesyen di sini,” katanya pada sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi, hari ini.

Peguam bela Adam Radlan, Datuk Seri Rajan Navaratnam, tidak membantah cadangan berkenaan.

Azura kemudian menetapkan sebutan kes seterusnya pada 29 Mei ini untuk serahan dokumen.

Pada 21 Februari lalu, Adam Radlan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM500,000 berkaitan Jana Wibawa.

Bagaimanapun, Adam Radlan, 42, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Suzana Hussain.

Keesokannya, CEO itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rozilah Salleh.

Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut itu didakwa untuk kali ketiga pada 28 Februari lalu berhubung projek sama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta.

Adam Radlan membuat pengakuan sama sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Azura.

Jana Wibawa dilaksanakan ketika pandemik COVID-19 dan ia adalah kesinambungan kepada Program Pembangunan

Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada 1993.

Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan ditadbir Perikatan Nasional (PN) diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Loading...
Terkini