comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Jual sotong ring tanpa label, bapa & anak didakwa

SHAH ALAM:Dua beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari atas pertuduhan menjual 3,000 paket gegelang sotong sejuk beku tanpa label lengkap di sebuah pasar raya, Feb lepas.

Khor Hun Poe, 59, dan anaknya Khor Zhi Xiong, 29, selaku Orang Kena Saman (OKS), didakwa secara bersama-sama selaku penjual borong telah menjual barang tersedia bungkus iaitu 3,000 unit ‘Frozen Squid Ring’ tanpa pembalut suatu label yang mempunyai butir-butir seperti nama dan alamat pengimport, kepada sebuah pasar raya, di sini, pada 28 Feb lepas.

Mereka didapati telah melanggar perenggan 3(1)(c) Perintah Kawalan Harga (Pelabelan oleh Pekilang, Pengimport, Pengeluar atau Penjual borong) 1980, dan didakwa mengikut Seksyen 57(b) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Khatijah Abdul Rajah, menawarkan jaminan masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin kepada kedua-dua OKS, kerana kes itu telah tular berkaitan gegelang sotong yang didakwa mengandungi unsur babi walaupun selepas disiasat tiada unsur tersebut.

Peguam R. Muniandy yang mewakili kedua-dua OKS memohon jaminan rendah, dengan alasan laporan tular berkenaan dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Hakim Rasyihah Ghazali membenarkan kedua-dua OKS masing-masing diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 8 Dis ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini Bernama melaporkan, satu tangkap layar yang ditularkan oleh seorang pengguna, dengan mendakwa sotong ring mengandungi rektum babi, bagaimanapun, Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan bahawa tiada DNA babi dikesan di dalam sampel produk gegelang sotong sejuk beku tersebut. – BERNAMA

Loading...
Terkini